Masjid kedua di Putrajaya selepas Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak dilengkapi kipas angin mahupun pendingin hawa. Uniknya, ruang dalamnya tetap nyaman dan sejuk.
SEKIRANYA masjid lain di Malaysia lebih banyak menggunakan gabungan elemen Monghul, Uthmaniyah dan Eropah, masjid yang terletak di Presint 3, Putrajaya ini sebaliknya berbeza.
Menjadikan ayat 57 surah al-Baqarah sebagai teras pembinaan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mula beroperasi pada 1 Ramadan lalu memberi signifikan dari segi kerohanian, teknologi dan arkitektur.
RUANG solat utama menggunakan teknologi pintar bagi menimbulkan suasana yang penuh nyaman.
"Makna ayat itu ialah 'dan kami naungi kamu dengan awan', jadi arkitek masjid ini merekanya berdasarkan konsep itu.
"Malah terjemahan ayat ini juga diserlahkan pada binaan bumbung yang besar dan luas di ruang solat utama," ujar Pengarah Jabatan Pembangunan Bandar, Ir. Mohd. Ridzwan K. Othman.
Dikenali juga sebagai Masjid Besi, masjid yang dibina di tepi tasik dan terang-benderang pada waktu malam ini berupaya menampung seramai 50,000 jemaah.
Udaranya yang kekal nyaman walaupun tanpa pendingin hawa atau kipas ternyata memberi keselesaan kepada jemaah.
Anyaman besi tahan karat
Aspek terbuka cukup ketara sebaik sahaja pengunjung menjejakkan kaki ke dalamnya.
"Tiada struktur konkrit besar digunakan di ruang solat utama. Ini menjadikan ruang ini lebih berangin sementelah ia terletak di tepi tasik.
"Justeru, gabungan lantai marmar serta angin tasik membuatkan ruang tersebut sentiasa nyaman," ungkap Ridzwan.
Masjid ini menggunakan 70 peratus besi atau anggaran sebanyak 6,000 tan besi keluli sebagai bahan binaan utamanya manakala selebihnya adalah konkrit.
Malah besi tersebut juga memudahkan arkitek mereka bentuk gerbang masuk dengan lebih teliti, halus dan berseni.
Tambah Ridzwan, meskipun masjid ini menggunakan konsep terbuka, dengan adanya skrin Mashrabiyah, jemaah tidak perlu gusar apabila hujan.
"Fungsi utama kombinasi anyaman besi tahan karat atau Architectural Woven Wire Mesh dan steel latticework yang diimport dari Jerman ini ialah sebagai penahan tempias hujan di ruang solat utama. Ia juga membenarkan cahaya dan tiupan angin menembusinya," ujarnya.
Menyentuh mengenai aspek perapian, kepingan cermin yang berukir ayat-ayat suci al-Quran di Dinding Mihrab adalah bersifat antipantulan cahaya. Secara tidak langsung, ciri tersebut menjadikan tulisan khat tersebut kelihatan seolah-olah terapung.
Di bahagian luar, jejantas Kiblat Walk yang menghubungkan Dataran Putrajaya dengan bangunan masjid menambahkan lagi keistimewaan Masjid Besi. Jejantas seluas 13,639 meter persegi itu dihiasi kolam air di tepiannya.
Jemaah juga perlu melalui Iwan Utama atau pintu gerbang utama menuju ke laman yang dikenali sebagai 'Sahn'. Binaan konkrit putih itu dilatari tulisan kaligrafi 99 nama Allah, Asma ul-Husna.
Masjid ini mempunyai tiga gerbang utama dan setiap satunya selari antara satu sama lain dan berada dalam kedudukan lurus hingga ke ruang utama solat.
"Dengan adanya laluan ini, para jemaah dari Dataran Putrajaya terutama kakitangan kerajaan hanya perlu berjalan kaki untuk mengunjungi masjid ini dan sekali gus mengurangkan masalah meletak kenderaan," kata Ridzwan.
Taman mini Sahn
Sahn pula ialah satu ruang terbuka di luar masjid yang perlu dilalui sebelum jemaah memasuki ruang solat utama.
"Ia seolah-olah sebuah taman mini yang membolehkan pengunjung berehat atau kanak-kanak bermain sementara menanti ibu bapa beribadat," kata Ridzwan.
Elemen utama masjid iaitu kubah turut dititikberatkan. Dengan garis pusat 48 meter, arkiteknya memilih bahan besi tahan karat.
Bagi memastikan strukturnya kalis air dan mengelakkan kebocoran, kubah itu diliputi sebanyak tiga lapisan lengkap dengan titi khas bagi kerja-kerja penyelengaraan.
"Dengan kesan lampu, kubah ini akan kelihatan seperti berlangit-langit kerana lapisan dalamnya dibina melalui teknik cantuman dan bersegmen," terang Ridzwan lagi.
LALUAN yang menghubungkan ruang solat utama dan Kiblat Walk.
Dianggarkan terdapat lebih 23,000 kakitangan kerajaan akan bekerja di Putrajaya apabila keseluruhan parcel pejabat kerajaan dibangunkan kelak.
Selain itu, seramai 28,000 penduduk akan mendiami kawasan sekitarnya apabila kesemua projek pembangunan perumahan siap dibina.
No comments:
Post a Comment